MAKLUMAN : Untuk tahun 2010, venue blog Bakti Remaja ini Kem Kolej Ketengah,Dungun. Tahun sebelumnya [2009] ianya di Kompleks Rakan Muda Kemaman, Kemaman.-KOORDINATOR- "SANTAI BERILMU...MENTAL JANGAN CALAR, JIWA JANGAN KACAU"

17 April 2010

Hayati Sebuah Perjuangan

17 April 2010
Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia...

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT yang memberikan rahmatNya untuk kita terus bersama-sama meneruskan perjuangan demi kerana agama, bangsa dan negara yang tercinta.

Setelah selesai beberapa siri kursus untuk remaja hari ini telah menunjukkan perubahan yang cukup besar kepada generasi hari ini sebenarnya. Walaupun tidak keseluruhan yang berjaya mengikuti kursus ini namun bagi mereka terpilih adalah amat merugikan mereka seandainya kepulangan mereka tidak memberi pulangan yang besar kepada masyarakat disekeliling mereka. Bukan senang untuk menyertai kursus seperti ini bahkan tidak ada di negeri lain yang menganjurkan kursus yang sama.

Justeru itulah kepada mereka yang terpilih sering diingatkan bahawa peluang menyertai kursus sebegini bukanlah untuk memberi mereka imbuhan semata-mata tetapi ini adalah suatu amanah dari Allah dan Rasul untuk terus menjunjung al-quran dan hadis sebagai tonggak kekuatan bangsa Melayu di dalam sebuah negara yang merdeka.

Tanpa mengetahui sejarah perjalanan bangsa mana mungkin untuk kita menghayati erti sebuah perjuangan. Ternyata sebilangan besar daripada mereka yang hadir sebagai peserta kursus tidak mengetahui akan kepentingan mempertahankan apa yang kita ada sebenarnya.

Ada juga yang mengetahui tetapi maklumat yang ada pada mereka amatlah sedikit. Jadi kalau dengan maklumat yang tidak seberapa dan kurang tepat itu bagaimana mereka hendak menyampaikannya kepada masyarakat yang berada disekeliling yang tidak mustahil akan dihujani dengan pelbagai persoalan.

Justeru itulah apabila kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman menganjurkan kursus sebegini amatlah tepat pada masanya. Generasi hari ini akan tahu menilai dan menghargai erti sebuah kemerdekaan. Walaupun masa yang ditetapkan untuk kursus tidaklah panjang namun ruang yang ada telah digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan apa yang sewajarnya untuk mereka ketahui.

Kepada kepimpinan di peringkat penyelaras, jkkk mahupun sayap-sayap parti yang ada di setiap cawangan diseru agar jangan dibiarkan peserta-peserta yang telah menamatkan kursus ini tanpa perhatian. Ambillah kecaknaan terhadap mereka. Mereka ingin perhatian dan sampaikanlah apa jua aktiviti dan maklumat yang jelas kepada mereka. Mereka tidak menentang kita sebenarnya. Bimbinglah mereka ke landasan yang sebenarnya kerana mereka adalah pewaris bangsa yang akan terus mendaulatkan Islam di bumi yang merdeka ini.

Mereka telah ditiupkan roh perjuangan dan hari ini tersemat kukuh di jiwa mereka sebagai seorang pejuang yang akan mewarisi perjuangan demi kerana agama, bangsa dan negara. Kita perlu sentiasa sedar bahawa bangsa kita hari ini bukan lagi berada di tempat yang cukup selesa. Ingatlah, 'orang lain' sentiasa menantikan saat kejatuhan bangsa Melayu sebagai tuan di tanah pusaka ini. Pertahankan apa yang ada pada kita sewajarnya. Persiapkanlah diri kita dengan ilmu yang sepatutnya. Bukan masanya lagi untuk kita bertelagah dan mentertawakan sesama sendiri. Silap kita mengorak langkah tidak mustahil bangsa kita akan tersungkur di bumi sendiri.

Hayati Sebuah Perjuangan...

Salam Perjuangan Salam 1 Malaysia...
Share


0 komen:

Catat Ulasan

baktiremaja on Facebook