Merdeka adalah satu perkara yang  amat bermakna kepada kita terutamanya kepada para perajurit yang terlibat  secara langsung dalam peperangan untuk menuntut kemerdekaan.Keberanian dan  kecekalan mereka perlulah kita hargai.Sifat kepahlawanan mereka telah memberi  kebebasan kepada kita untuk mencorakkan bumi Malaysia yang tercinta  ini.Sekarang,telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam  mengekalkan kemerdekaan negara ini.            Kedaulatan negara perlulah dipertahankan dengan sebaik-baiknya supaya anak-anak  kita dapat mengecapi kebebasan seperti yang kita miliki sekarang.Janganlah kita  yang menjadi penyebab kehilangan kebebasan ini untuk dinikmati generasi masa hadapan.Para remaja adalah di antara golongan yang dipertanggungjawabkan  untuk mengekalkan kemerdekaan negara ini.kita seharusnya berbangga kerana  dapat menetap di negara bertuah yang dipanggil Malaysia.Untuk mencerminkan  perasaan cinta kepada negara sendiri,remaja perlulah menjaga dan mempertahankan  maruah bangsa dan negara.
          Para remaja perlulah bersemangat setia kepada negara supaya pengekalan kemerdekaan  negara dapat dilakukan dengan semangat kepahlawanan yang berkobar-kobar.Di  antara cara untuk remaja mengekalkan kemerdekaan negara adalah dengan menyertai  angkatan tentera.Tentera amat diperlukan pada setiap masa kerana peperangan boleh  meletus secara tiba-tiba.Dengan kekuatan tentera yang hebat, kedaulatan negara  dapat dipertahankan.Remaja perlulah sedia berkorban untuk bangsa dan negara.
          Remaja juga perlulah bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni.Sejarah telah  membuktikan bahawa bersatu padu amat penting dalam mengekalkan keamanan negara.  Apabila semangat bersatu padu tiada,bukan sahaja negara bahkan tamadun yang  hebat juga akan musnah seperti yang terjadi kepada tamadun Islam Uthmaniah di Turki  dan Dinasti Ming di China pada suatu masa dahulu.Jadi semangat kekitaan  perlulah dipupuk sejak dari awal demi menjamin kemerdekaan negara.
          Disiplin perlulah dijadikan amalan oleh para remaja. Disiplin dapat melahirkan  remaja yang berakhlak dan berbudi pekerti mulia.Remaja perlulah menyematkan  disiplin dalam diri dengan cara menjadi lebih bertanggungjawab dan menepati masa sekaligus dapat menjadi warganegara yang berguna.Disiplin di kalangan  remaja juga dapat dipupuk dengan menyertai institusi-institusi pengajian yang berasaskan ketenteraan seperti Maktab Tentera Diraja,Kolej Tentera  Darat,Kolej Tentera Udara dan Akademi Tentera Malaysia yang dapat membentuk sifat keperibadian yang unggul.
Dalam usaha untuk mengekalkan kemerdekaan negara, remaja perlulah lebih berusaha dan produktif apabila melakukan sesuatu perkara.Para remaja haruslah lebih tabah dalam menghadapi cabaran demi mempertahankan hak-hak mereka.Kita juga mesti berdikari dan tidak bergantung kepada kuasa-kuasa asing supaya dapat menjamin kedaulatan negara.

0 komen:
Catat Ulasan